Monday 1 July 2019

Tips untuk Bersedia, Yakin dan Tidak Gementar dalam Temuduga Kerja (Tips Interview)

          Rutin pencari kerja setiap hari adalah membuka email, menanti panggilan temuduga daripada syarikat yang telah menerima permohonan pencari kerja.

"Tahniah! Anda terpilih untuk menghadiri temuduga bersama syarikat kami pada tarikh dan masa tersebut.".

Apakah perkara pertama anda perlu lakukan setelah menerima email tersebut? Balas email ucapan terima kasih kerana sudi meluangkan masa meneliti permohonan anda dan nampak potensi anda untuk jawatan tersebut. Pastikan masa dan tarikh yang diberikan syarikat dapat ditepati anda. Jika ada hal lain, nyatakan hasrat anda untuk menukar tarikh dan masa tersebut.

          Ini adalah perkara yang perlu anda lakukan sebelum menghadiri temuduga tersebut untuk yakin dan tidak gementar:

  • Ambil tahu mengenai syarikat tersebut melalui laman sesawangnya, laman Facebook atau laman-laman lain yang berkenaan. Ini yang ramai pencari kerja terlepas pandang. Tiada langsung pengetahuan mengenai syarikat yang bakal menemuduga anda. Anda tidak sedar bahawa mengambil tahu maklumat mengenai syarikat tersebut adalah BONUS. Mengapa saya katakan ia bonus? Jika anda membaca semua maklumat yang dipersembahkan dalam laman sesawang syarikat tersebut, pasti akan terdetik beberapa persoalan yang ingin anda tahu tetapi tidak dipersembahkan dalam laman sesawang mereka. Ini dapat menjadi soalan daripada anda apabila penemuduga bertanya, "Ada apa-apa soalan daripada anda?" WAJIB bertanya untuk menunjukkan anda berminat dengan syarikat mereka dan anda juga tidak gementar apabila diajukan soalan seperti ini kerana anda sudah bersedia untuk bertanya mereka perkara yang ingin anda tahu.
  • Teliti skop tugas untuk mengagak soalan-soalan yang bakal diajukan oleh penemuduga. Lakukan juga carian di enjin carian mengenai soalan-soalan popular yang selalu diajukan dan pastikan anda tahu jawapan bagi setiap soalan tersebut. Penting sekali untuk anda ada sebab kukuh kepada jawapan bagi setiap soalan tersebut kerana ada penemuduga gemar bertanya "Mengapa?" bagi jawapan anda.
  • Pastikan resume, CV, surat tawaran temuduga atau apa-apa dokumen berkaitan disediakan dalam keadaan tersusun. Elakkan meletakkan semua dokumen di dalam sampul surat kerana ini akan menyukarkan penemuduga untuk meneliti maklumat anda sebaliknya letak di dalam 'file' yang memudahkan penemuduga menyelak satu persatu maklumat anda. Anda boleh meletakkan semua dokumen tersebut di dalam sampul surat sebagai salinan kedua selepas salinan pertama diletakkan di dalam ' file' untuk diselak semasa temuduga. Salinan kedua ini sebagai salinan jika ada penemuduga yang meminta untuk menyimpan dokumen anda.

Sudah bersedia kerana hari temuduga anda telah tiba?

          Ini adalah perkara yang perlu anda lakukan semasa menghadiri temuduga tersebut untuk yakin dan tidak gementar:

  • Pastikan anda sentiasa senyum dan kekalkan 'eye contact' dengan penemuduga.
  • Badan anda hendaklah dalam keadaan tegak untuk menonjolkan keyakinan anda dan kurangkan pergerakan tangan semasa bercakap.
  • Jika perlu bertutur dalam Bahasa Inggeris, pada ketika ini usah pedulikan 'grammar' kerana jika anda benar-benar menumpukan perhatian untuk tidak melakukan kesalahan 'grammar', secara tidak sedar anda kurang memberikan tumpuan kepada percakapan anda sewaktu melontarkan jawapan dan ini boleh menyebabkan anda 'hesitate'; cenderung untuk 'aaaaa' 'eemmmm' 'aaaaa'  sekaligus menunjukkan anda kurang berkeyakinan dan kurang bersedia.


Temuduga sudah tamat dan sudah tentu kini anda menanti email tawaran kerja daripada syarikat tersebut. Jangan lupa untuk menghantar email selepas temuduga untuk mengucapkan terima kasih kerana sudi meluangkan masa menemuduga anda. Dapat atau tidak, itu adalah rezeki ketentuanNya. Yang penting, anda tahu anda sudah bersedia dan yakin semasa temuduga.

Jangan pernah berhenti berusaha kerana setiap usaha itu dinilai dan akan berhasil dihujungnya. Semoga tips ini sedikit sebanyak dapat membantu pencari kerja diluar sana!

Sekian terima kasih.

0 comment(s):

Post a Comment

Please drop your comments that might contributes new ideas and build more and more positive vibes among us.